Monday 31 October 2011

02:43 - 2 comments

Hati & Jantungku Berdebar - Debar!

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Sama ada kepada Penjejak – Penjejak saya mahupun kepada semua yang secara tidak sengaja melintas masuk dalam blog saya yang sangat banyak kekurangan ini. Yang pasti ini merupakan blog kedua saya setelah yang pertama J dan apa yang ingin saya ceritakan di sini ialah tentang degupan di dada!

Memang perkara biasa kepada semua manusia di dunia, hati dan jantungnya akan berdebar – debar. Tiada yang pelik atau aneh bahkan memang tidak perlu diperbesarkan tetapi dalam kes saya ini, perasaan yang saya hadapi ketika ini sangatlah ajaib. Hati saya berdebar – debar selama dua tiga hari sejak kebelakangan ini!
Bermula dengan pertemuan dengan seorang rakan lama pada hari Sabtu yang lalu membuatkan saya memang tidur tak lena dan fikiran saya berterbangan. Pertemuan yang singkat itu (kurang 30 minit) tetapi memberikan satu perasaan yang luar biasa. Dan semenjak itulah hati dan jantung saya ini tidak pernah diam daripada berdebar – debar.

Mungkin ada yang beranggapan ianya berkaitan dengan cinta atau kahwin. Dan jawapan anda itu adalah salah! Topik perbualan tersebut walaupun berlangsung kurang dari satu jam namun impaknya sangatlah besar dan jika ia menjadi kenyataan akan merubah nasib saya buat selama – lamanya! Benarlah kata dari salah seorang blogger – peluang ini hanya akan datang sekali dalam seumur hidup!

Persoalan saya kepada anda semua – apakah kalian akan lakukan jika kalian diberikan satu peluang untuk mengubah nasib? Ya atau tidak? Balasan yang bakal saya terima pula ialah, apakah peluang yang ditawarkan itu? Baik atau tidak baik? Susah atau senang? Benar atau tipu? Kesemua ini akan berkisar – kisar di dalam otak anda sehingga anda berasa sangat lumat dan tidak berdaya untuk memikirkannya lagi. Sekali lagi pertanyaan ringkas saya – anda mahu mengubab nasib anda atau tidak kerana ini adalah peluang sekali dalam seumur hidup?

Untungnya persoalan itu diajukan kepada saya dan saya mengambil masa kurang dari tempoh pertemuan tersebut untuk mengatakan ‘YA’! Bagaimana saya boleh berkata ‘ya’ jika saya sendiri pun baru saja tahu dan tidak mempunyai apa – apa pengetahuan tentang hal tersebut?

Begini… ianya hadir dengan sendiri. Tiada paksaan ataupun pujukan. Yang diajukan adalah menggunakan kata – kata dari seorang rakan lama dan kepercayaan kita terhadap hal tersebut. Dan lebih penting, konsep untuk berubah dengan cara ‘mencuba dahulu, kemudian baru tahu’.

Bagaimana pula dengan modal dan keuntungannya? Modalnya ialah kepercayaan, kesabaran dan bertawakal. Manakala keuntungannya ialah kebebasan untuk hidup dengan lebih sempurna. Katakan siapa yang tidak mahu untuk hidup dengan lebih sempurna berbanding sekarang ini? Begitulah yang terjadi kepada saya. Saya ingin berubah dan perubahan itu sangatlah besar. Konsep cuba dulu baru tahu memang ada pro dan kontra. Dan bagi saya tidak salah mencuba bukan? Setiap percubaan pasti akan ada hasilnya.

Namun debaran ini sentiasa berterusan… apakah ia memberi makna sebaliknya? Sama – samalah kita menjejaki kesudahan debaran ini. Moga ianya membawa berita gembira.

2 comments:

apa bende ni... cuber cite betoi2?? heheh

hehehe... sabarlah, belum masanya lagi.

Post a Comment